Luis Suarez bukanlah asing dengan kontroversi di sepanjang kariernya. Sikap nakal yang dimilikinya diakui oleh ramai pihak tetapi disering menutup setiap kelemahan itu dengan aksi hampir sempurna di padang.
Berikut adalah 10 kontroversi yang pernah dicipta oleh beliau :
1. BERTUMBUK DENGAN ALBERT LUQUE
November 2007, Luis Suarez yang baru tiba dari Ajax Amsterdam terbabit dalam perbalahan di atas padang ketika menentang Feyenoord. Insiden tersebut berlaku ketika Ajax Amsterdam dihadiahkan sepakan percuma. Luis Suarez dan rakan sepasukannya ketika itu, Albert Luque berebut mahu mengambil sepakan tersebut. Kedua-dua mereka bertekak mahu mengambil sepakan tersebut hingga mengakibatkan pergaduhan di bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa pertama. Akhirnya kedua-dua mereka tidak diturunkan pada separuh masa kedua.
2. TANGAN TUHAN
Luis Suarez mencipta satu kejutan terbesar sejarah bola sepak ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Uruguay pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010 menentang Ghana. Dia menahan bola tandukan Dominic Adiyiah di atas garisan gol dengan tangan pada penghujung waktu kecederaan sewaktu kedudukan terikat 1-1 menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti dan dibuang padang. Bagaimanapun, Asamoah Gyan gagal untuk menyempurnakan sepakan tersebut. Bagaimanapun, Ghana akhirnya tewas pada penentuan sepakan penalti yang menyebabkan Luis Suarez mendakwa 'Tangan Tuhan' bukan lagi milik Diego Maradona.
3. MENGIGIT LAWAN
November 2010 sewaktu bersama Ajax Amsterdam, Luis Suarez digantung tujuh perlawanan dan dikenakan denda dengan jumlah yang tidak didedahkan akibat tindakan buruk dipamer beliau ketika menentang PSV Eindhoven. Selepas bertengkar dengan dua pemain, Luis Suarez mengigit bahu pemain tengah PSV Eindhoven, Otman Bakkal. Insiden itu menyebabkan beliau mendapat gelaran 'Pemakan Orang Dari Ajax'. Beliau kemudian menyertai Liverpool ketika masih digantung dengan nilai STG22.8 juta (RM117.6 juta) pada Januari 2011.
4. ISU PERKAUMAN
Perbalahan di atas padang turut menyaksikan Luis Suarez mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra ketika Liverpool menentang Manchester United pada Oktober 2011. Patrice Evra mengadu kepada FA Inggeris bahawa Luis Suarez menggunakan perkataan 'negro' sebanyak lima kali malah mengejeknya dengan kata-kata "Saya tidak bercakap dengan orang kulit hitam." Luis Suarez kemudian digantung lapan perlawanan dan didenda 40,000 pound oleh badan induk bola sepak Inggeris pada Disember tahun yang sama. Liverpool tidak membuat sebarang rayuan terhadap hukuman berkenaan.
5. MENUNJUKKAN ISYARAT LUCAH
Beberapa hari sebelum tuduhan perkauman dijatuhkan terhadapnya, Luis Suarez sekali lagi mencetuskan masalah iaitu ketika Liverpool menentang Fulham di Craven Cottage pada Disember 2011. Penyokong mengejeknya kerana dikatakan kerap menjatuhkan badan dengan sengaja bagi meraih simpati pengadil. Liverpool tewas perlawanan itu dan sebaik wisel penamat ditiupkan, Luis Suarez menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Fulham. Dia digantung satu lagi perlawanan dan didenda STG20,000 dan beberapa hari kemudian, beliau dikenakan penggantungan lapan perlawanan kerana mengejek Patrice Evra.
6. ENGGAN BERJABAT TANGAN
Perlawanan Liverpool menentang Manchester United pada Februari 2012 sekali lagi menemukan Luis Suarez dan Patrice Evra sejak penyerang terbabit menjalani penggantungan kerana mengejek pemain pertahanan Perancis itu. Luis Suarez terus mempamerkan sikap biadap apabila langsung tidak mengendahkan Patrice Evra yang menghulurkan tangan untuk bersalam sebelum perlawanan bermula.
7. MENJATUHKAN BADAN
Sebelum pertembungan setempat Merseyside pada Oktober 2012, David Moyes mengkritik Luis Suarez kerana sengaja menjatuhkan badan dan perbuatan tersebut itu tidak digemari penyokong yang tidak mahu melihat kemenangan dengan cara menipu. Luis Suarez menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-2 dan terus berlari ke arah David Moyes dan melakonkan aksi menjatuhkan di depan pengurus Everton tersebut.
8. MENUMBUK MUKA PEMAIN LAWAN
Penyerang itu mencetuskan kontroversi ketika Uruguay menentang Chile pada perlawanan antarabangsa pada Mac 2013. Dia melakukan 'tumbukan cedok' ke muka Gonzalo Jara ketika bek Chile tersebut mengawal pergerakannya.
9. MENGIGIT LENGAN BRANISLAV IVANOVIC
Tindakan paling popular Luis Suarez pasti akan diingati ramai ialah sewaktu perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Chelsea di Anfield pada 21 April 2013. Liverpool ketika itu ketinggalan 2-1 dan Luis Suarez bergelut bersama Branislav Ivanovic dalam kotak penalti. Dia mengigit lengan Branislav Ivanovic sebelum kedua-dua pemain tersebut terjatuh ke atas padang. Namun, itulah perlawanan terakhirnya bersama Liverpool untuk seketika sebelum didapati bersalah oleh FA dan dikenakan penggantungan 10 perlawanan.
10. MEMINTA DILEPASKAN PADA MUSIM PERPINDAHAN
Spekulasi hangat mengenai bintang Liverpool itu hangat diperkatakan selepas beliau merayu supaya dilepaskan oleh Liverpool. Dia mahu meninggalkan Liverpool memandangkan kelab tersebut tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2013/14. Liverpool menolak tawaran Arsenal dan tindakannya itu menyebabkan dipaksa oleh Brendan Rodgers berlatih bersendirian.
SUMBER DARIPADA : Harian Metro Edisi 28 September 2013
No comments:
Post a Comment